Dari Kalam-NYA

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

"Alif Lam Mim. Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yang yakin akan adanya akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Al-Baqarah 1-5)

Isnin, 22 November 2010

C.I.N.T.A

Bismillahirrahmanirrahim..

C.I.N.T.A
Membuat aku mengimbau memori kepada persoalan ayah terhadap diri ini.
Meski telah menjangkau pertengahan 50'an, tapi ayah tetap melayani kerenah anak-anaknya yang semakin membesar dan mula mencari haluan hidup sendiri.
Masih bermain difikiran dan bagaikan terus mekar segar didalam ingatan di saat itu, suasana malam yang sentiasa menjadi waktu berehat bersama keluarga. Ketika berada di ruang tamu rumahku bersama dua adik perempuan ku. Pastinya setelah abang-abang ku melanjutkan pelajaran masing-masing dan ada yang telah berumah tangga, hanya kami bertiga yang sentiasa berada di rumah menjadi teman setia dua orang tua ku.

Sedang bermain sudoku didalam telefon bimbit ku, satu pertanyaan yang tidak diduga daripada ayahku yang sedang berehat di atas tikar rotannya,
"Yong, apa itu cinta?" tanya ayah terus kepada anak perempuan pertamanya ini, membuatkan aku terkesima namun aku yang mengerti ada maksud tersirat disebalik pertanyaan tersebut mula bergerak mendekati ayah yang hanya tersenyum dan menyambung ayatnya.
"Banyak sudah jawapan yang bapa dapat tapi tak ada satu pun yang tepat, meski budak form 6 pun tak dapat jawab. Yalah, dorang cakap pasal perasaan sayang antara lelaki dan perempuan lah yang banyak. Tapi kalau yong pula apa?"
Persoalan itu ku biar tanpa jawapan, tapi hanya tersenyum memahami. Adik-adik yang tadi leka bermain kucing bagai mengerti, lalu duduk menghampiriku. Begitulah cara kami sekeluarga, apabila ayah memberikan persoalan yang sebenarnya tidak memerlukan jawapan pun daripada anak-anaknya tapi cukup untuk kami mendengar apa yang ingin dikatakan olehnya.

***
C.I.N.T.A
Apa maknanya? Adakah seperti yang orang lain sangkakan? Atau ada sesuatu yang lebih bermakna dari cinta itu sendiri?
C.I.N.T.A
5 alphabet dengan satu makna atau 5 alphabet dengan 5 makna.
Ya, 5 makna yang berkaitan maka ia akan jadi satu.

C= Cinta atau kasih sayang.
Kasih sayang boleh kita kongsi bersama. Kasih sayang antara suami isteri, rakan taulan, ibu bapa, adik beradik, saudara mara, manusia dan alam, rasul dan umat serta Allah dan hambanya. Itulah yang dimaksudkan dengan kasih sayang, tiada hadnya. Diberikan kepada sesiapa jua kerana sememangnya fitrah manusia ingin disayangi dan menyayangi.

I= Indah.
Kesinambungan daripada C. Dunia ini menjadi indah apabila sesama makhluk saling sayang-menyayangi, kerana dengan kasih sayang, perasaan tenang dan aman itu wujud. Dengan kasih sayang, kebahagiaan dan kegembiraan itu timbul. Maka keindahan itu akan muncul dibawah kedamaian hasil daripada kasih sayang.

N= Niat.
Apa pun yang kita lakukan pastinya bermula dengan niat. Jika kasih sayang itu berniatkan pada dunia, maka percayalah dan yakinlah dunia itu tidak kekal, begitu juga dengan keindahan yang datang dari kasih sayang berasaskan niat duniawi juga tidak akan kekal. Oleh itu, kembali kepada niat yang asal, niat kerana-Nya, Dia yang tiada permulaan juga tiada akhirnya, maka kasih sayang itu akan terus kekal keindahannya. InsyaAllah.

T= Taat.
Apabila Niat telah ditetapkan hanya kerana DIA, maka taatlah, taatlah kepada perintahNya yang memerintahkan kita untuk taat kepada ibu bapa, suami, rasul, agama dan taat kepada-Nya. Taatlah kepada yang membawa kebaikan atas niat kerana-Nya.

A= Amal.
Jika telah memahami erti kasih sayang, keindahan daripadanya, menetapkan niat pada yang sepatutnya dan terus mentaati-Nya, maka amalkanlah. Sesungguhnya ilmu tanpa amal itu sesuatu yang sia-sia. Dan tiada yang merugikan dalam mengamalkan kebaikan kerana ia akan terus mengekalkan kedamaian di hati kita.
***

5 alphabet dengan 5 makna, namun yang sebenarnya satu, kerana tanpa satu daripada C.I.N.T.A itu tidak lengkaplah diri ini.
Ringkas tapi padat. Itu boleh aku jelaskan tentang penjelasan ayah. Tanpa kata-kata pujangga dan tanpa kata-kata puitis, apa yang ayah sampaikan amat mudah difahami tetapi dalam maksudnya. 5 huruf itu membuatkan aku tersenyum dan memahami bagaimana ibu dan ayah mampu tetap mesra dan hangat meski usia perkahwinan mereka telah lebih daripada 30 tahun.

Ibu tidak pernah cemburu dengan sifat ayah yang amat suka mengusik wanita-wanita muda kenalannya dengan mengatakan dia masih ada 3 kekosongan.
Ayah pula tidak pernah menarik muka dengan sifat penyayang ibu yang sentiasa menggunakan perkataan "sayang" disetiap hujung ayat percakapannya kepada sesiapa saja terutama rakan-rakan ibu tanpa mengira sama ada lelaki mahupun perempuan.

Aku memahami prinsip yang dipegang oleh ayah dan ibu,.
" Kasih sayang itu tiada hadnya, Yong. Siapa pun boleh kita sayang jika kita menyayangi Dia yang Satu, kerana semua pun makhluk ciptaan-Nya. Maka sayangi mereka kerana-Nya."
Kata-kata ibu yang sentiasa aku bawa kemana saja.
"Bila kita menyayangi seseorang itu, yakin dan percaya saja padanya. Jangan pernah sangsi atau buruk sangka. InsyaAllah. Tuhan sentiasa ada untuk menjaga hatinya."
Ini yang aku ingin terus terapkan didalam hati.

Membesar dalam keadaan itu menyebabkan aku begitu mudah mengungkapkan rasa sayang ku. Walau amat diri ini mengetahui, sering saja orang lain melontarkan pandangan yang berbeza dengan cara aku melihat perasaan sayang itu sendiri. Bagaimana persekitaran aku yang mendidikku, maka begitulah aku dibentuk.
Jangan disalah ertikan perkataan CINTA kerana ia mempunyai makna yang lebih besar dari mana-mana pun ciptaan-Nya. Sesungguhnya Dia menciptakan kita juga dengan rasa Cinta.
Allahu'alam. Yang baik itu datang daripada-Nya, yang buruk itu datang dari khilaf diri ini sendiri.

"Lahirkan Kemesraan Sesama Kita Manusia
Kerana Itu Haknya,
Tapi Jangan Putus Hati Kita Dengan Allah,
Ini Adalah Hak-Nya Pula"

Rembesan memori: Syaidatul Ayu.