Dari Kalam-NYA

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

"Alif Lam Mim. Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yang yakin akan adanya akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Al-Baqarah 1-5)

Khamis, 30 Disember 2010

Mengenal caranya

Assalamualaikum..

Bismillahirrahmanirrahim..

Mencari makna kehidupan. Usia remaja sentiasa menjadi waktu penentu putaran perubahan seseorang kerana ketika inilah para remaja mulai mencari identiti sebenar mereka. Namun adakah dengan cara yang betul atau pun tidak. Orang sentiasa mengatakan bahawa siapa sahabatnya maka itulah dirinya. Penyataan ini mungkin benar dan mungkin juga tidak. Seorang sahabat berkata kepada ku “kadang-kadang ada manusia yang akan terus hidup dalam persekitaran yang menunjukkan siapa dirinya. Tetapi ada juga insan yang mampu menjdi ikan air tawar yang hidup di laut yang masin.” Aku mengambil kira itu sebagai suatu yang nasihat dan pegangan yang sangat bermakna buat ku. Dia bagai menyampaikan bahawa, lupakan masa silam mu, jika ingin berubah, berubahlah tetapi jangan tinggalkan sahabat-sahabat mu yang sentiasa menemani mu suatu ketika dahulu.

Mungkin agak sukar unttuk dimengertikan apa yang ingin aku sampaikan disini, sebenarnya aku berkecil hati dengan seorang teman yang aku amat kenali. “perubahan itu baik, tetapi bukan sebegini drastik.” Satu ungkapan menyatakan perasaan seorang sahabat ku terhadap teman ku itu. Aku sedar, setiap remaja akan mencari identiti mereka, siapa mereka dan apakah yang mereka lakukan selama ini adalah sesuatu yang mereka inginkan.

Seorang remaja yang dulunya menjalankan kehidupan biasa bersama kawan-kawannya. Sifatnya yang dulu amat lembut dalam pertuturan, meski pun ketika marah kerana aku tahu dia seorang yang sangat menjaga hati sahabat-sahabat dan orang di sekelilingnya. Namun kini, semua itu berubah, dia mula bercakap bagai dia tidak pernah mengenali sahabat-sahabatnya. Perubahannya untuk menegakkan agama Allah tidak sekali mendapat pandangan buruk dimata ku, malah menambahkan cintaku terhadapnya sebagai seorang sahabat, tetapi keadaannya yang menegur sahabat-sahabat lama bagai dia tidak mengenali mereka, tidak ada lagi sifat lembutnya, dia amat tegas menyatakan pendiriannya tetapi tidak sedar perbuatannya menyakiti hati orang lain. Tidakkah boleh dia lakukan secara bijaksana, jika ingin berdakwah sekalipun, Islam amat menekankan sifat bijaksana dan berhikmah. Tiada yang akan mengikuti kamu meskipun kamu menyampaikan sesuatu yang amat indah sekalipun jika cara penyampaian itu menyakitkan dan melukai hati insan lain kerana bila diperjuangkan Islam itu secara kasar dan tidak berakhlak bagai hidangan makanan yang enak kepada tetamu tetapi diberi secara dilemparkan.

Apa pun yang berlaku, aku tahu akan keadaannya, kerana sekarang apa yang dilihatnya semua pun salah, semua pun perlu diperbetulkan kerana dia mengetahui kebenarannya dan dia mendapat kejutan itu. Mungkin didalam hatinya kini, “hei, itu salah dari segi agama.” “hei, dosa kalau buat macam tu.” “hei, patut dimarah ini.” “aku nampak benda ni terjadi, aku tak boleh biarkan. Kena tegur ni.” Ya, semua itu akan terlintas didalam fikiran setiap insan yang tahu hukum agama dan ingin menegakkannya tetapi bukan itu kata-kata yang keluar dari mulut mereka kerana seharusnya kata-kata yang lembut sopan, berhikmah dan bijaksana menjadi bunga-bunga kata ketika itu. Sebagai seorang sahabat, pasti kita mengenali sahabat kita, rutinnya, keperibadiannya dan latar belakangnya. Seharusnya menggunakan perkara dan semua pengetahuan itu sebagai pemangkin untuk memudahkan mengajak mereka berubah kepada yang lebih baik, kerana ada sesetengah teman apabila kita tegur mereka akan berkata “ hei, kau dulu pun buat jugakan.” “hei, macam kau tak kenal aku.” Jadi di saat itu, adakah kita berhak untuk marah dan menyatakan kita dah berubah serta menunjukkan “aku nak jadi baik sekarang nie, aku tau apa yang aku dah buat dulu tu salah.” Mungkin diriku pun mungkin tidak akan pandang kamu kalau kamu berkata macam tu sedangkan diriku merupakan sahabat lama kamu. Oleh itu, apakah dakwah yang sepatutnya berlaku disitu???? “PERBUATAN adalah lebih kuat daripada percakapan.” Kau mengenali mereka, kau mengetahui mereka maka janganlah sakiti mereka dengan perkataanmu. Tunjukkanlah mereka yang engkau berubah dengan perbuatan mu kerana sekuat-kuat dakwah itu pada perbuatan, selembut-lembut percakapan itu tidak dapat dibandingkan dengan kelembutan perbuatan mu jika ingin menyampaikan sesuatu. Hal yang sedemikian, timbullah perkara yang menjelaskan perkara tersebut: “ jangan engkau katakan apa yang tidak engkau lakukan.” Manusia tidak akan mengikut apa yang kita katakan tetapi mereka melihat apa yang kita lakukan dan menjadikan sebagai pengajaran serta tarbiah hati. Allahu’alam

Yang baik itu daripada Allah s.w.t. dan yang buruk itu khilaf diri ini sendiri..

Luahan kata : Syaidatul Ayu

Isnin, 22 November 2010

C.I.N.T.A

Bismillahirrahmanirrahim..

C.I.N.T.A
Membuat aku mengimbau memori kepada persoalan ayah terhadap diri ini.
Meski telah menjangkau pertengahan 50'an, tapi ayah tetap melayani kerenah anak-anaknya yang semakin membesar dan mula mencari haluan hidup sendiri.
Masih bermain difikiran dan bagaikan terus mekar segar didalam ingatan di saat itu, suasana malam yang sentiasa menjadi waktu berehat bersama keluarga. Ketika berada di ruang tamu rumahku bersama dua adik perempuan ku. Pastinya setelah abang-abang ku melanjutkan pelajaran masing-masing dan ada yang telah berumah tangga, hanya kami bertiga yang sentiasa berada di rumah menjadi teman setia dua orang tua ku.

Sedang bermain sudoku didalam telefon bimbit ku, satu pertanyaan yang tidak diduga daripada ayahku yang sedang berehat di atas tikar rotannya,
"Yong, apa itu cinta?" tanya ayah terus kepada anak perempuan pertamanya ini, membuatkan aku terkesima namun aku yang mengerti ada maksud tersirat disebalik pertanyaan tersebut mula bergerak mendekati ayah yang hanya tersenyum dan menyambung ayatnya.
"Banyak sudah jawapan yang bapa dapat tapi tak ada satu pun yang tepat, meski budak form 6 pun tak dapat jawab. Yalah, dorang cakap pasal perasaan sayang antara lelaki dan perempuan lah yang banyak. Tapi kalau yong pula apa?"
Persoalan itu ku biar tanpa jawapan, tapi hanya tersenyum memahami. Adik-adik yang tadi leka bermain kucing bagai mengerti, lalu duduk menghampiriku. Begitulah cara kami sekeluarga, apabila ayah memberikan persoalan yang sebenarnya tidak memerlukan jawapan pun daripada anak-anaknya tapi cukup untuk kami mendengar apa yang ingin dikatakan olehnya.

***
C.I.N.T.A
Apa maknanya? Adakah seperti yang orang lain sangkakan? Atau ada sesuatu yang lebih bermakna dari cinta itu sendiri?
C.I.N.T.A
5 alphabet dengan satu makna atau 5 alphabet dengan 5 makna.
Ya, 5 makna yang berkaitan maka ia akan jadi satu.

C= Cinta atau kasih sayang.
Kasih sayang boleh kita kongsi bersama. Kasih sayang antara suami isteri, rakan taulan, ibu bapa, adik beradik, saudara mara, manusia dan alam, rasul dan umat serta Allah dan hambanya. Itulah yang dimaksudkan dengan kasih sayang, tiada hadnya. Diberikan kepada sesiapa jua kerana sememangnya fitrah manusia ingin disayangi dan menyayangi.

I= Indah.
Kesinambungan daripada C. Dunia ini menjadi indah apabila sesama makhluk saling sayang-menyayangi, kerana dengan kasih sayang, perasaan tenang dan aman itu wujud. Dengan kasih sayang, kebahagiaan dan kegembiraan itu timbul. Maka keindahan itu akan muncul dibawah kedamaian hasil daripada kasih sayang.

N= Niat.
Apa pun yang kita lakukan pastinya bermula dengan niat. Jika kasih sayang itu berniatkan pada dunia, maka percayalah dan yakinlah dunia itu tidak kekal, begitu juga dengan keindahan yang datang dari kasih sayang berasaskan niat duniawi juga tidak akan kekal. Oleh itu, kembali kepada niat yang asal, niat kerana-Nya, Dia yang tiada permulaan juga tiada akhirnya, maka kasih sayang itu akan terus kekal keindahannya. InsyaAllah.

T= Taat.
Apabila Niat telah ditetapkan hanya kerana DIA, maka taatlah, taatlah kepada perintahNya yang memerintahkan kita untuk taat kepada ibu bapa, suami, rasul, agama dan taat kepada-Nya. Taatlah kepada yang membawa kebaikan atas niat kerana-Nya.

A= Amal.
Jika telah memahami erti kasih sayang, keindahan daripadanya, menetapkan niat pada yang sepatutnya dan terus mentaati-Nya, maka amalkanlah. Sesungguhnya ilmu tanpa amal itu sesuatu yang sia-sia. Dan tiada yang merugikan dalam mengamalkan kebaikan kerana ia akan terus mengekalkan kedamaian di hati kita.
***

5 alphabet dengan 5 makna, namun yang sebenarnya satu, kerana tanpa satu daripada C.I.N.T.A itu tidak lengkaplah diri ini.
Ringkas tapi padat. Itu boleh aku jelaskan tentang penjelasan ayah. Tanpa kata-kata pujangga dan tanpa kata-kata puitis, apa yang ayah sampaikan amat mudah difahami tetapi dalam maksudnya. 5 huruf itu membuatkan aku tersenyum dan memahami bagaimana ibu dan ayah mampu tetap mesra dan hangat meski usia perkahwinan mereka telah lebih daripada 30 tahun.

Ibu tidak pernah cemburu dengan sifat ayah yang amat suka mengusik wanita-wanita muda kenalannya dengan mengatakan dia masih ada 3 kekosongan.
Ayah pula tidak pernah menarik muka dengan sifat penyayang ibu yang sentiasa menggunakan perkataan "sayang" disetiap hujung ayat percakapannya kepada sesiapa saja terutama rakan-rakan ibu tanpa mengira sama ada lelaki mahupun perempuan.

Aku memahami prinsip yang dipegang oleh ayah dan ibu,.
" Kasih sayang itu tiada hadnya, Yong. Siapa pun boleh kita sayang jika kita menyayangi Dia yang Satu, kerana semua pun makhluk ciptaan-Nya. Maka sayangi mereka kerana-Nya."
Kata-kata ibu yang sentiasa aku bawa kemana saja.
"Bila kita menyayangi seseorang itu, yakin dan percaya saja padanya. Jangan pernah sangsi atau buruk sangka. InsyaAllah. Tuhan sentiasa ada untuk menjaga hatinya."
Ini yang aku ingin terus terapkan didalam hati.

Membesar dalam keadaan itu menyebabkan aku begitu mudah mengungkapkan rasa sayang ku. Walau amat diri ini mengetahui, sering saja orang lain melontarkan pandangan yang berbeza dengan cara aku melihat perasaan sayang itu sendiri. Bagaimana persekitaran aku yang mendidikku, maka begitulah aku dibentuk.
Jangan disalah ertikan perkataan CINTA kerana ia mempunyai makna yang lebih besar dari mana-mana pun ciptaan-Nya. Sesungguhnya Dia menciptakan kita juga dengan rasa Cinta.
Allahu'alam. Yang baik itu datang daripada-Nya, yang buruk itu datang dari khilaf diri ini sendiri.

"Lahirkan Kemesraan Sesama Kita Manusia
Kerana Itu Haknya,
Tapi Jangan Putus Hati Kita Dengan Allah,
Ini Adalah Hak-Nya Pula"

Rembesan memori: Syaidatul Ayu.